Selasa, 20 April 2010

Pencuri peralatan masjid diberkas polis

TELUK KEMANG 20 April - Seorang penganggur tergamak menjadikan masjid dan surau di beberapa buah negeri termasuk sekitar Port Dickson di sini sebagai sasaran untuk dia melakukan kegiatan jenayah curi.
Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan terlebih dahulu menumpang teduh di masjid atau surau tersebut sebelum bertindak mencuri peralatan elektronik untuk kegunaan kariah di situ.
Bagaimanapun, perbuatan lelaki tersebut berjaya dihidu polis apabila dia diberkas ketika cuba menjual peralatan yang dicurinya kepada orang ramai di Taman Orked di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, pihaknya menahan suspek kira-kira pukul 11.15 pagi pada Khamis lalu hasil maklumat orang ramai.
"Kita percaya hasil penangkapan lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian di masjid dan surau di sekitar daerah ini termasuk Salak Tinggi dan Kapar, Selangor; Tanjung Keling, Melaka dan Muar, Johor.
"Hasil daripada tangkapan ini juga, polis menemui empat unit amplifier, sebuah pemain cakera video digital (DVD), sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda daripada suspek," katanya.
Baljeet berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Menurut Baljeet, kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai hampir RM25,000 mengikut harga pasaran semasa.
"Suspek kini ditahan reman selama enam hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan pecah rumah," jelasnya.
Ditanya sama ada aktiviti lelaki berkenaan didalangi kumpulan sindiket, Baljeet memberitahu, lelaki yang berasal dari Johor itu dipercayai menjalankan kegiatannya secara bersendirian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan