Tidur sekejap di waktu siang terutama pada waktu tengah hari didapati amat berkesan untuk meningkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seseorang pekerja.
Biarpun ada yang beranggapan ia bukan sesuatu yang elok untuk diamalkan di tempat kerja, jika diteliti dengan lebih mendalam, tidur sekejap di waktu rehat tidaklah bermakna seseorang itu curi tulang atau ponteng kerja.
Di negara barat terutama Amerika Syarikat (AS), pelbagai kajian sudah dijalankan dan mendapati bahawa 92.5 peratus pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti serta keupayaan mereka menyelesaikan masalah adalah jauh lebih tinggi.
Ia disebabkan waktu tengah hari adalah masa yang paling sesuai untuk berehat seketika kerana sistem badan kita dikatakan memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu berkenaan yang juga dikenali sebagai kelesuan pada pertengahan hari.
Ini disebabkan keletihan bekerja lebih memuncak pada waktu tengah hari dan ia mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala dapat membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah.
Ia dapat membantu melancarkan pengaliran darah serta oksigen selain berupaya memperbaiki sel badan dan mengendurkan otot yang digunakan secara aktif ketika bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda pekerja yang berpeluang berehat dengan tidur seketika akan menjadi lebih tenang daripada tekanan serta dikatakan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan.
Kajian penyelidik Nasa menunjukkan, tidur siang selama 24 minit mampu memperbaiki kepekaan dan prestasi juruterbang dan tidak hairan jika tidur seketika di waktu tengah hari itu sudah menjadi amalan di negara maju seperti AS, Itali serta Sepanyol.
Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata merehatkan diri dengan melelapkan mata seketika di siang hari mampu meningkatkan lagi produktiviti kerja seseorang individu.
Menurutnya, waktu tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika dan sistem pekerjaan yang diamalkan di negara ini memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari bagi dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak serta berehat.
Tidur sekejap selama lebih kurang 10 minit mampu mengembalikan tenaga yang hilang dan amalan berkenaan amat sesuai bagi mereka yang sering berjaga malam atau bangun untuk sembahyang tahajud.
Jelasnya, pada waktu berkenaan minda manusia biasanya senang terganggu serta mudah hilang fokus yang boleh menyebabkan produktiviti kerja terganggu.
“Sebenarnya amalan tidur sekejap ini sudah lama diamalkan di negara barat. Majikan di sana amat menggalakkan pekerja mereka untuk berehat dan melelapkan mata seketika pada waktu tengah hari.
“Tidur seketika pada waktu berkenaan mampu mengembalikan kesegaran badan serta fikiran. Jika badan dan fikiran segar, produktiviti kerja pun akan bertambah,” katanya.
Tidur sekejap selama lebih kurang 10 minit mampu mengembalikan tenaga yang hilang dan amalan berkenaan amat sesuai bagi mereka yang sering berjaga malam atau bangun untuk sembahyang tahajud.
Jelasnya, pada waktu berkenaan minda manusia biasanya senang terganggu serta mudah hilang fokus yang boleh menyebabkan produktiviti kerja terganggu.
“Sebenarnya amalan tidur sekejap ini sudah lama diamalkan di negara barat. Majikan di sana amat menggalakkan pekerja mereka untuk berehat dan melelapkan mata seketika pada waktu tengah hari.
“Tidur seketika pada waktu berkenaan mampu mengembalikan kesegaran badan serta fikiran. Jika badan dan fikiran segar, produktiviti kerja pun akan bertambah,” katanya.
Penyelidik tidur Universiti Pennsylvania, Dr David Dinges, pula berpendapat bahawa tidur sekejap sebenarnya boleh ‘membayar balik’ hutang tidur pada waktu malam.
“Tetapi tidur tidak boleh terlalu lama kerana jika melebihi 30 minit, seseorang itu sukar untuk bangun kerana terlalu nyenyak,” katanya.
Dalam pada itu, profesor psikologi, Universiti Cornell, AS, Dr James Maas, berpendapat bahawa tidur pada waktu tengah hari sekitar 15 hingga 20 minit sebenarnya sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan dan mengembalikan tenaga.
Menurut Dr James, waktu tidur yang mencukupi untuk golongan dewasa adalah sekitar lapan hingga sembilan jam manakala remaja, sembilan hingga 10 jam, kanak-kanak (12 hingga 13 jam) dan bayi, 17 jam sehari.
Berdasarkan kajian Dr Maas, individu yang tidak mendapatkan tidur yang cukup mudah mengalami gejala kemurungan, potensi melakukan kesalahan dalam pekerjaan, sukar memberi tumpuan, prestasi kerja yang buruk serta boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan.
“Dengan mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, seseorang itu boleh mengawal perasaan dengan baik dan pada masa sama, dapat menjaga kesihatan serta kecantikan,” katanya.
Dr William A Anthony dan Camile W Anthony dalam buku mereka The Art of Napping at Work menyifatkan bahawa tidur seketika di tempat kerja adalah sesuatu yang semula jadi dan satu cara paling mudah untuk meningkatkan lagi produktiviti pekerja.
“Tidur seketika di waktu siang hari mampu meningkatkan semula tenaga. Ia umpama menjana semula bateri yang semakin berkurangan dan mengharmonikan kembali minda yang berserabut,” kata mereka. Kesimpulannya, jika berpeluang mendapat rehat di waktu tengah hari, ambil masa sekitar 10 hingga 20 minit untuk tidur bagi merehatkan seketika badan dan fikiran.
Ia boleh dilakukan sama ada di meja kerja, di dalam kereta mahupun di bilik rehat bagi syarikat yang menyediakan kemudahan berkenaan.
Tidak rugi berehat seketika kerana selain mendapat banyak kebaikan, ia juga mampu meningkatkan lagi daya tumpuan kita.
- HARIAN METRO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan