Isnin, 19 April 2010

Facebook tutup akaun Osama Laden

DUBAI - Laman web jaringan sosial Facebook kelmarin menutup profil pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden atau seseorang yang menyamar sebagai dirinya.

Tindakan itu dibuat atas sebab keselamatan selepas seorang pakar keselamatan menimbulkan isu itu kepada pemilik laman web berkenaan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut beberapa laporan, Osama menggunakan laman Facebook bertajuk `Pemimpin Mujahidin, Osama bin Laden' untuk menyiarkan video dan ucapan kepada militan.

Jurucakap Facebook, Andrew Noyes berkata, syarikatnya tidak pasti sama ada akaun atau profil berkenaan milik Osama.

"Orang sering menggunakan akaun palsu dan menyamar orang kaya. Kami mempunyai beberapa langkah teknikal untuk mengatasi masalah ini," kata Noyes.

Menurutnya, akaun yang menggunakan nama Osama itu menjadi kurang aktif bulan lalu tetapi menarik hampir 1,000 ekstremis.

Noyes berkata, bahasa yang digunakan dalam laman itu adalah bahasa Arab tetapi mesej dalam bahasa Inggeris turut kelihatan.

Osama dan beberapa pemimpin kanan al-Qaeda dipercayai bersembunyi dekat sempadan Afghanistan dan Pakistan yang dikuasai pemimpin puak tempatan.

sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan