PUTRAJAYA: Kes kesalahan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat naik mendadak apabila 4,749 kes dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 4,452 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, adalah dipercayai lebih ramai lagi pemandu melakukan kesalahan tersebut terutama pada tengah malam tanpa dapat dikesan.
"Namun menerusi pengenalan sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang akan dilancarkan mulai Oktober ini, kes ini dijangka dapat dikurangkan.
"AES akan melakukan penguatkuasaan sepanjang hari, jadi pemandu yang melanggar peraturan lampu isyarat pada waktu tengah malam pun tidak akan terlepas," katanya kepada pmberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya "Merah Makna Berhenti" anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Sun Media Corporation Sdn Bhd, di sini hari ini.
Menerusi kempen itu, sebanyak 300,000 pelekat akan diedarkan kepada orang ramai sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya agar tidak melanggar peraturan lampu isyarat.
Ong berkata, indeks kematian akibat kemalangan jalan raya telah menurun dengan ketara melalui pelbagai usaha kesedaran dan pencegahan yang dilakukan.
"Indeks kematian jalan raya untuk setiap 10,000 kenderaan berdaftar telah menurun di seluruh negara daripada 5.70 peratus pada 2000 kepada 3.55 peratus tahun lalu," katanya.
Ong berkata, sikap sambil lewa tidak mematuhi peraturan lampu isyarat membahayakan pemandu itu sendiri dan orang lain. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan