KL, 23 APRIL 2010: Tiap-tiap kali Wings dan Search mahu membuat persembahan konsert yang berskala besar, ada saja halangan atau cabaran yang terpaksa dilalui kedua-dua band rock gergasi tempatan kita ini.
Tidak terkecualilah saat mereka bakal dipadukan di pentas yang sama demi menjayakan penganjuran konsert Double Trouble 2010 anjuran Adept Net Sdn Bhd yang dijadual berlangsung di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort pada 1 Mei depan bermula jam 8.45 malam.Selain tidak mendapat sokongan tajaan daripada syarikat korporat yang besar dan berpengaruh, Wings dan Search terpaksa bertembung pula dengan Ungu yang turut memilih hari yang sama untuk konsert solo mereka nanti.
Kesan daripada itu, timbul spekulasi yang kononnya mengatakan bahawa Wings dan Search akan membatalkan Konsert Double Trouble 2010 mereka. Hakikatnya semua itu tidak benar sama sekali.
Kedua-dua band rock lagenda Malaysia ini akan tetap meneruskan persembahan mereka sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.
Amy selaku vokalis Search berkata, sesudah 30 tahun melibatkan diri dalam industri muzik tanah air, inilah hakikat yang terpaksa mereka lalui.
"Tapi hendak buat macam mana. Inilah Malaysia. Walaupun tidak mendapat sokongan yang penuh dari syarikat korporat dari sudut tajaan yang besar tetapi sokongan yang diberikan daripada smeua pihak cukup luar biasa.
"Kalau ada pun halangan yang lain ia berkemungkinan atas sebab-sebab yang lain seperti banjir dan ribut taufan. Tapi, secara peribadi kami sudah sedia untuk rocking dan kami tidak sabar untuk rocking. Mudah-mudahan, peminat pun rasa macam tu juga,"katanya.
Sambung Amy lagi, konsert ini nanti bukan saja akan menjajikan kepuasan buat peminat tetapi ia sudah pun dirancang dengan begitu baik dan teratur sekali.
"Ia akan jadi sebuah konsert yang besar dan menjadi satu kenangan yang terindah buat fans Wings dan Search," katanya.
Sementara itu, Awie pula berkata, buat masa ini mereka masih menjalani latihan yang cukup gigih.
"Demi untuk meningkatkan stamina, kami kena buat latihan yang banyak. Maklumlah, waktu kami mula-mula beraksi bersama kira-kira 17 tahun dulu, kami masa tu masih muda belia. Sekarang ini pula, semua dah makin matang.
"Dalam soal ini juga tidak timbul siapa hebat dan siapa tidak. Wings akan tetap menghormati Search sebagai seorang abang. Malah, tak timbul juga siapa yang keluar dulu dan siapa yang kemudian.
"Apa yang pasti, kami semua akan membuat persembahan yang terbaik pada malam itu nanti dan kami yakin ramai peminat yang hadir memberikan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi nanti.
"Kami sendiri pun teruja untuk jadikan konsert ini sebagai sebuah konsert lagenda yang akan dikenang sampai bila-bila," katanya.
Konsert Double Trouble 2010 yang akan berlangsung selama 2 jam akan mengetengahkan 20 lagu hits Wings dan Search seperti Gemuruh, Opera Hidup, Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Derap Komada.
Setakat ini tiket sudah pun terjual sebanyak 60 peratus dan ia dijangka akan berterusan hingga ke hari konsert nanti.
Apa yang menarik, pihak penganjur juga sudah mengambil kira langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil untuk mencegah kesesakan lalu lintas yang berlaku pada malam itu nanti.
Malah, pihak penganjur juga akan menyediakan pengakutan awam dari jam 5 malam hingga 9 malam serta 10 hingga 12 malam di beberapa lokasi utama termasuklah di Pusat Bandar Damansara untuk memudahkan orang ramai datang menyaksikan konsert ini nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan