Rabu, 11 Februari 2015

Tarif Elektrik Turun Mulai 1 Mac....Akhirnya Turun Jugak!


PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk menurunkan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung Malaysia, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Perkara itu diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di sini, sebentar tadi.

Selain itu, purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj, berkuat kuasa bagi tempoh sama, penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.

Maximus berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penurunan kos bahan api global.

"Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 32 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300 kWj sebulan dan semua pengguna dalam kategori lain seperti komersial dan industri," katanya. ─ BH Online


Pelajar Perempuan Menghabiskan Tujuh Jam Sehari Menggunakan Telefon Bimbit


Tokyo: Kajian terbaru ke atas 618 pelajar dari seluruh Jepun mendedahkan, secara purata pelajar perempuan menghabiskan tujuh jam sehari menggunakan telefon mudah alih dengan 10 peratus daripada mereka menghabiskan masa untuk peranti itu selama sekurang-kurang 15 jam.

Kajian melalui Internet itu dikendali firma keselamatan maklumat Digital Arts mendedahkan, secara bandingan kanak-kanak lelaki seusia mereka pula menggunakan telefon mudah alih hanya lebih empat jam sehari.

Kajian itu juga mendedahkan punca remaja menggunakan telefon mudah alih mereka.
Kebanyakannya menggunakan peranti itu untuk mengakses media sosial seperti Line, aplikasi mesej dan rangkaian telekomunikasi, selain permainan telefon pintar dan menghasilkan video.

Keputusan kajian itu dikeluarkan ketika penularan gejala tidak sihat semakin meningkat dalam kalangan remaja penagih teknologi mudah alih.

Keadaan hampir sama berlaku di China apabila didapati golongan remaja menjadi pengguna melampau telefon pintar.

Kata penganalisis, kecenderungan itu bakal mencetuskan perubahan neurologi dalam badan, sama seperti alkohol dan kokain.

Menurut firma itu, 96 peratus pelajar sekolah tinggi Jepun mempunyai telefon mudah alih, berbanding 60 peratus pelajar sekolah menengah.

Kajian juga menunjukkan hampir setiap empat daripada 10 kanak-kanak di tahun awal sekolah rendah - berumur seawal 10 tahun - menggunakan telefon genggam. ─ Agensi


GST: Sebenarnya harga kereta akan naik atau turun?



KUALA LUMPUR: Tersebar khabar angin yang mengatakan harga kereta akan turun dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ialah lebih rendah daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pengarah bahagian GST, Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy berkata selepas mengambil kira pengagihan keuntungan secara margin, harga kereta dijangka 'lebih rendah', di bawah GST walaupun terdapat perbezaan antara GST dan SST.

"Industri automotif menjadi sangat efisien dan kompetitif secara bebeberapa tahun kebelakangan ini. Cukai hanya salah satu faktor.

"Syarikat pengeluar seharusnya menurunkan harga sekiranya kos pengeluaran rendah ekoran penurunan harga bahan mentah dan komponen kereta," katanya.

Harga besi dan bahan mentah mula turun sejak penurunan harga minyak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata harga kereta mungkin akan naik dan bukannya turun.

Hal ini kerana syarikat pengeluar kereta sudah membayar 10 % dalam SST bagi kereta yang dibeli sebelum April dan mereka mereka yang membeli daripada pengedar atau pengeluar yang tidak berlesen hanya boleh membuat tuntutan balik 20% daripada cukai jualan yang telah dibayar.

"Bermula 1 April, pengguna terpaksa membayar 6 % GST. Secara keseluruhan, cukai yang perlu dibayar 8 % ( termasuk sebahagian daripada SST yang tidak akan dipulangkan) termasuk 6% GST. Ini bermakna harga kereta akan naik (dalam tempoh sementara) kerana anda perlu membayar cukai dua kali," kata Aishah.

Namun beliau berkata, GST hanyalah elemen yang kecil dalama menentukan harga kereta kerana elemen yang lebih besar menentukan harga adalah syarikat yang akan melaksanakan cukai tersebut dan membayarnya kepada Jabatan Kastam. Ia berjumlah antara 65 % hingga 105% bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan.

Faktor tersebut, merupakan sebab utama yang menjadikan harga kereta di Malaysia antara yang termahal di dunia.

"Kami telah meminta pengurangan cukai eksais namun jawapan yang kami terima masih sama, iaitu: 'Tidak'.

"Hasil kerajaan diperolehi daripada cukai (cukai eksais, SST dan cukai import) dan industri automotif di Malaysia menyumbang sebanyak RM7 bilion setiap tahun. Ia merupakan satu jumlah yang cukup besar."

Beliau menambah perbezaan antara dollar Amerika Syarikat terhadap Ringgit Malaysia turut memberikan kesan terhadap harga kereta.

Berbanding pada bulan Januari, perbezaan tukaran dollar Amerika Syarikat berbanding Ringgit Malaysia ialah 28% hingga 32%.

Kebanyakan syarikat pengedar kereta menggunakan nilai tukaran mengikut dolar Amerika Syarikat untuk membayar pakej mereka, termasuk kereta yang diimport daripada Jepun dan Korea Selatan.

Bukan itu sahaja kebanyakan alat komponen dan alat gantian kenderaan juga dijual dalam nilai dolar Amerika Syarikat.

"Dengan kadar pertukaran yang tinggi, mereka terpaksa mengatasi masalah ini dan apa yang boleh dilakukan adalah dengan menjual kenderaan mengikut harga pasaran sedia ada.

"Namun sampai bila mereka mampu bertahan dan menanggung kerugian? Sekiranya mereka rugi, akhirnya akan terpaksa menaikkan harga," katanya. - mStar