MUAR: Seorang nenek dari Kampung Jawa, Panchor di sini terkejut apabila cucu perempuan kesayangannya sanggup bersekongkol dengan dua remaja lelaki dan seorang wanita merompak wang tunai dan barang kemasnya hari ini.
Ruliah Abu Bakar, 75, mendakwa, cucu berusia 14 tahun itu membiarkan dia dipaksa berbaring oleh dua remaja belasan tahun dan wanita berusia 40 tahun itu yang mengikat tangannya dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu.
"Dia tidak berbuat apa-apa untuk menghalang perompak daripada berlaku kasar ke atas saya sebaliknya melarikan diri bersama mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Perompak tersebut datang dengan motosikal ketika dia bersama cucunya di rumah.
Mereka sempat memberi salam dan bertanyakan ada sesiapa di rumah sebelum salah seorang daripada remaja terbabit meluru lalu menutup mulut dan kepalanya dengan kain.
"Masa itu saya rasa bagai nak hilang nyawa dan hanya mampu mengucapkan Allahuakbar berulang kali...saya amat berharap cucu membantu tetapi langsung dia tidak berbuat apa-apa," katanya.
Selepas mengikat tangannya, mereka kemudian membaringkannya secara paksa sebelum merampas kain di bajunya yang menjadi tempat menyimpan wang tunai.
Dia meminta cucunya jangan pergi bersama perompak tersebut tetapi tidak diendahkannya.
Selepas mereka beredar, mangsa berjaya membuka ikatan di tangannya dan pergi ke rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk meminta bantuan.
Ketua polis daerah Muar, ACP Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi hari ini, mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak.
Usaha sedang dijalankan untuk menjejaki kesemua suspek, katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan