Khamis, 29 April 2010

Mati katak tiada lesen

KUALA LUMPUR: Tiada lesen memandu di kalangan pengguna berumur antara 16 hingga 25 tahun menjadi punca utama kematian akibat kemalangan, sama ada motosikal atau kereta.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata, kemalangan yang membabitkan kematian dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa iaitu sebanyak 6,287 kes pada 2007 dan meningkat kepada 6,527 kes tahun 2008.

Katanya, peningkatan ketara itu sebahagiannya membabitkan remaja iaitu 2,186 kes kerana kurang kesedaran kepentingan menjaga keselamatan ketika di jalan raya.

“Daripada jumlah kematian itu 41 peratus golongan remaja yang tiada lesen memandu atau menunggang motosikal secara melulu.

“Mereka tiada lesen biasanya tidak mengetahui undang-undang dan peraturan ditetapkan, jadi mudah terbabit dalam pelbagai kesalahan termasuk melanggar lampu merah, menunggang secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar,” katanya ketika ditemui di Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya JKJR bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan media di Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Suret berkata, kerana tidak tahu peraturan, kemalangan mudah berlaku ke atas mereka menyebabkan kes kematian terus meningkat.

Katanya, untuk mengurangkan kadar kematian itu, kerajaan pada masa ini memberi peluang kepada remaja untuk meluluskan lesen memandu dengan harga berpatutan yang boleh mengurangkan kes kemalangan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata melalui statistik Ops Penyamaran dari Mac hingga 25 April sebanyak 8,145 kes kesalahan lalu lintas dicatat.

“Melalui Ops Penyamaran ini, kita dapati pengguna melakukan pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi lampu isyarat, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, menggunakan telepon ketika memandu dan memandu dilorong kecemasan.

“Kecuaian yang dilakukan pengguna ini boleh menyebabkan kemalangan. Jadi kita mahu mereka memberi kerjasama kepada petugas untuk mengelakkan kemalangan daripada terus meningkat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan