KUALA LUMPUR: Pertubuhan bantuan perubatan sukarela Mercy Malaysia (Mercy) menafikan dakwaan bahawa doktornya terkorban di Gaza yang menyebabkan sukarelawannya tidak dihantar menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza tahun ini.
Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus sebaliknya berkata tugasan mereka di Gaza dilakukan oleh rakan kongsi mereka dari kalangan rakyat tempatan di sana.
"Kami mendapat tahu terdapat khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa mengenai kematian doktor kami yang dihantar ke Gaza.
"Kami ingin merayu kepada orang ramai agar menghentikan menyebar SMS berkenaan, kerana ia adalah tidak betul," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata antara yang sedang diusahakan oleh Mercy di Gaza ialahmengadakan program psikososial bersama Emaar Society, di mana pihaknya telah menubuhkan pusat penjagaan dan rundingan psikologi untuk penduduk di Semenanjung Gaza.
"Konflik berterusan di Gaza telah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam di kalangan penduduknya yang masih hidup dan ini adalah antara cara kami menyokong penduduk setempat," katanya.
Dr Ahmad Faizal berkata bentuk bantuan lain termasuk bantuan peralatan perubatan dan ambulans serta pembinaan semula Penempatan Perubatan El-Wafa dan Hospital Pembedahan Pakar.
"Kami merasa kesal yang teramat sangat mengenai berita kehilangan nyawa dan keganasan para sukarelawan yang dihantar ke Gaza dan kami melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang meninggal dan cedera.
"Kami menggesa pembukaan segera, kekal dan tanpa syarat kepada laluan bantuan kemanusiaan dan pekerja bantuan ke Gaza dan sebaliknya," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan