Tidak ada had harga tertinggi ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempahan nombor pendaftaran kenderaan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata sistem tender atau tawaran nombor pendaftaran yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan kepada konsep tempahan melalui Jawatankuasa Pemilihan Tempahan Nombor Pendaftaran.
Katanya JPJ juga tidak menaikkan harga tempahan nombor pendaftaran kenderaan sebelum atau semasa mesyuarat jawatankuasa berkenaan bagi memastikan ketelusan sistem Pengurusan Tempahan Nombor Pendaftaran Kenderaan.
"Mana-mana pemohon yang menempah sesuatu nombor pendaftaran pada harga tempahan tertinggi akan ditawarkan nombor pendaftaran tersebut," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Sim Kheng Hui.
Jelaing berkata sehingga Mei 2010, jumlah kutipan melalui bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan adalah sebanyak RM70 juta melibatkan 351,092 urusniaga.
Pada tahun 2009, hasil kutipan berkenaan adalah RM137 juta dan tahun sebelumnya RM141 juta.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan