Ahad, 25 Julai 2010

4 PERKARA MASUK SYURGA

“ Wahai manusia, berilah salam, hubungkanlah tali persaudaraan, berilah jamuan makan, solatlah pada malam hari ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan sejahtera.” ( Riwayat Tarmizi)

ULASAN HADIS :

1. Hadis ini adalah hadis yang diucapkan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda berhijrah ke Madinah. Ungkapan hadis ini merangkumi diantara hubungan dengan ALLAH dan hubungan sesama manusia.

2. Rasulullah SAW telah menyebut empat perkara yang membawa seseorang itu kepada syurga ALLAH.
Pertama: Memberi salam ; ianya merupakan syiar Islam dan lambang ucapan doa yang baik antara sesama Islam agar sentiasa mendapat keselamatan dan rahmat dari ALLAH.

Kedua: Silataturrahim; bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan mengabaikan segala perselisihan kecil, remeh-temeh ataupun besar. Kita hendaklah menjaganya agar terelak daripada murka ALLAH. Sesungguhnya ALLAH benci permusuhan.
Ketiga : Memberi makan; adalah perbuatan yang terpuji, lebih-lebih lagi kepada golongan fakir, miskin, anak yatim dan kepada mereka yang memerlukan. Ianya adalah tanggungjawab Muslim bahkan sikap ini menambah ikatan kasih sayang. Rasulullah SAW sendiri sangat cintakan amalan memberi makan kepada para sahabat Baginda tanpa pernah menghampakan mereka walaupun sedikit.

Keempat :Qiamullail ( Menghidupkan malam ); kerana ianya merupakan jambatan dan ruh hubungan terindah dengan ALLAH SWT. Tatkala manusia dibuai mimpi dan seronok melayan nafsu, ketika itu ada segolongan hamba-hamba yang bangun semata-mata mengabdikan diri kepada RABBUL A’ALAMIN yang ghaib, ianya merupakan lambang dan bukti kecintaan hamba kepada ALLAH.
3. Keempat-empat sifat ini, jika dapat dilaksanakan maka layaklah baginya menjadi penghuni SYURGA ALLAH yang maha indah. Pohonlah kepada ALLAH, moga kita juga termasuk di dalam golongan yang cinta dan beramal dengan apa yang dinyatakan oleh Baginda SAW.

WALLAHU’ALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan